SAYA MUNGKIN TIDAK SEHEBAT DATO' MAHADZIR LOKMAN SERTA TIDAK SEPOPULAR AZNIL NAWAWI, NAMUN INSYAALLAH SAYA BOLEH MENCERIAKAN MAJLIS ANDA
ADAKAH ANDA MEMERLUKAN PERKHIDMATAN EMCEE (PENGACARA MAJLIS) ATAU DEEJAY UNTUK MAJLIS PERKAHWINAN ANDA?

JM ENTERTAINMENT4U sedia membantu..

Selain majlis perkahwinan, kami juga menyediakan perkhidmatan untuk

1) Sukaneka

2) Makan Malam

3) Hari Keluarga

4) Rumah Terbuka

5) Promosi / Karnival

6) Ceramah/ Motivasi

7) Jamuan Hari Jadi


dan lain-lain acara...lagi. Anda senaraikan, biar kami bereskan...
Kami akan menyediakan perkhidmatan berpakej mengikut bajet anda.


PAKEJ A:

1) Emcee

2) Deejay

3) P.A Sistem

4) Karaoke



PAKEJ B:

1) Emcee

2) Deejay

3) P.A Sistem


PAKEJ C:

1) Emcee

2) P.A Sistem


PAKEJ D:

1) Deejay

2) P.A Sistem



dan Lain-lain pakej yang bersesuai mengikut keperluan anda.

Saturday, October 30, 2010

SKRIP..OH..SKRIP


Seperti dalam entry sebelum ani, aku janji nak bagi contoh2 skrip kan..ni aku bagi lagi 1 skrip pengacara majlis yang aku buat...hmm sekadar nak mengupdate kan blog...

MAJLIS CERAMAH 1 MALAYSIA
9 OGOS 10
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
DENGAN KERJASAMA
JABATAN PERDANA MENTERI

 
Mengumumkan ketibaan

Y.Bhg Dato; Shahlan Ismail, Setiausaha politik kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia di iringi  Y.Berhormat Datuk Richard Riot, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia

Nyanyian Negaraku

Pagi yang damai lagi penuh bermakna ini kita semarakkan dengan nyanyian lagu kebangsaan.. dipohonkan kepada sidang hadirin berdiri dan bersama menyanyikan lagu negaraku


Sirih berlipat siri pinang
Sirih dari pulau mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal bismillah pembuka bicara

Assalamualaikum, salam ceria, salam hormat, salam pembuka bicara, kapur dipalit sirih dibuka…


1.    Yang Berhormat Datuk Richard Riot, Timbalan Menteri Luar Negeri

2.    Yang Berbahagia  Dato; Shahlan Ismail,
           Setiausaha politik kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia

3.    Y.Bhg Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly,
Ketua Pegawai Eksekutif, Celcom Axiata Berhad


5.

Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

Selamat datang kepada Y.Berhormat Datuk,  Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati.

ke majlis ceramah 1Malaysia Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri


Ucapan alu-aluan Y.B Datuk Richard Riot

Sidang hadirin sekalian bersama kita mendengar ucapan alu-aluan sekapur sirih seulas pinang pada pagi ini.

Majlis menjemput dan mempersilakan dengan takzimnya

Yang Berhormat Datuk Richard Riot, Timbalan Menteri Luar Negeri  untuk menyampaikan ucapan alu-aluan

Majlis mempersilakan Y.Berhormat Datuk..

Majlis mengucapkan terima kasih kepada Y.Berhormat Datuk.


Ceramah 1Malaysia

Ya saudara, apa yang menjadikan Malaysia unik adalah kepelbagaian rakyatnya. Namun tanah air ini milik kita bersama, cinta dan kasih tertumpah di negara Malaysia.

1Malaysia : Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan..

Gagasan besar ini akan dikupas dan diadun  oleh Y.Bhg Dato; Shahlan Ismail, Setiausaha politik kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia
Untuk memberikan gambaran sebenar hasrat Y.A.B Perdana Menteri  kepada kita pada pagi ini.

Dengan ini majlis menjemput dan mempersilakan

Y.Bhg Dato; Shahlan Ismail, Setiausaha politik kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia

Untuk menyampaikan ceramah : 1Malaysia : Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan

Majlis mempersilakan Y.Berbahagian Datuk

================================================================
Majlis mengucapkan terima kasih kepada Y.Berbahagian Datuk

Di atas ceramah 1Malaysia : Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan


Sesi soal jawab

Kita buka ruangan bagi sesi soal jawab untuk memberi peluang andai ada simpulan yang perlu dileraikan, kemusykilan  yang perlu jawapan atau ada kepastian yang belum temui noktahnya…

Dipohon kan kepada hadirin yang ingin bertanya dapat kiranya memperkenalkan diri terlebih dahulu…

Majlis mempersilakan…

Ceramah 1Malaysia Brand

Alhamdulillah…Tuan-tuan dan puan-puan…

Adat orang berkampung
Pahit manis sama dirasa
Dalam pasang ada surutnya
Dalam untung ada ruginya
Dalam lapang ada sempitnya
Kalau banyak sebelanga seorang
Kalau sedikit sesudu seorang

Kini tiba waktu kita beralih ceramah kedua bertajuk 1Malaysia Brand

Dengan ini majlis menjemput dan mempersilakan

Y.Bhg Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly, Ketua Pegawai Eksekutif, Celcom Axiata Berhad

Untuk menyampaikan ceramah bertajuk 1Malaysia Brand..

================================================================
Majlis mengucapkan terima kasih kepada Y.Berbahagian Dato’ Sri

Di atas ceramah 1Malaysia Brand sebentar tadi..


Sesi soal jawab


Kita buka sekali lagi ruang sesi soal jawab untuk memberi peluang dan ruang sidang hadirin bertanyakan  soalan kepada  Y.Berbahagian Dato’ Sri



Sesi cenderamata

Tenang-tenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung

Dari daik pulang ke daik
Sehari-hari berkebun pisang
Budi baik dibalas baik
Dalam hati dikenang orang

Sebagai tanda kenangan pertemuan  kita pada hari ini. Majlis menjemput dan mempersilakan
Yang Berhormat Datuk Richard Riot, Timbalan Menteri Luar Negeri untuk menyampaikan cenderamata tanda ingatan kepada :

Yang Berbahagia  Dato; Shahlan Ismail,
 Setiausaha politik kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia

Y.Bhg Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly,
Ketua Pegawai Eksekutif, Celcom Axiata Berhad
Jamuan makan tengahari
Para hadirin sekalian. Dengan berakhirnya acara penyampaian cenderamata itu tadi  maka berakhirlah acara rasmi majlis kita pada hari ini.
Sekiranya terdapat sebarang kelemahan dan kekurangan dalam kami mengendalikan majlis ini, saya bagi majlis, dengan rendah hati memohon ribuan ampun dan maaf .


Majlis sekali lagi menjemput dan mempersilakan
Yang Berhormat Datuk Richard Riot,

Yang Berbahagia  Dato; Shahlan Ismail,

Y.Bhg Dato’ Sri Mohammed Shazalli Ramly,

Ke jamuan tengah hari yang disediakan di………………………………

Para hadirin dijemput bersama
Mudik ke muara mencari kerang
Sambil mudik, menjala ikan
Kalau ada salah dan kurang
Seribu keampunan kami pohonkan.

1Malaysia rakyat didahulukan pencapaian diutamakan…selamat menjalani ibadah berpuasa di bulan ramaddhan
Sekian dulu dari saya. Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Wednesday, October 27, 2010

KEBIZIAN YANG MELANDA..

Orang berblog, aku pun nak berblog...tapi kebizian yang melanda dalam minggu ni buat aku tak sempat je nak update. Macamaner ni...hu..hu..hu


Dalam mgu ni aku sibuk dengan menyediakan 'pointers' ceramah bajet..yg bestnye makan ditanggung... tapi sempat gak aku memenuhi undangan ceramah 2 buah sekolah. 1 sekolah Menengah Durian Daun, Melaka dan 1 lagi Sek Kebangsaan Petaling 1. Tajuk ceramah biasalah..1 Malaysia dan Rukun negara. Nkorg tau ke 1 Malaysia tu apa... Jom tengok gambor2 yang sempat aku minta tolong cikgu cikgi snapkan..ahakkss.





Aku le ni..sempat lagi posing sebelum ceramah..
 

Pelajar-pelajar Sek Men Durian Daun Melaka yang hadir ke pejabat aku pada 26hb Oktober .diorg ni nak ke Parlimen lepas ceramah 


Murid-murid Sek Rendah Petaling pada 27hb Oktober...dari darjah 1 sampai darjah 6... letih rupanye berceramah kat budak2 ni..kih..kih..kih. Kalau tak kena gaya diorg leh lena...ckp sorg2 lak aku. Nasib ada cikgu displin pegang rotan kat sebelah. Saja aku tak snap gambor cikgu tu..


Pandangan dari depan...smua cute je..angkat ikrar...bayangkan aku sensorg ceramah kat 500 budak kecik..he..he..rasa cam budak lak aku..


Saturday, October 23, 2010

CONTOH-CONTOH SKRIP

Hari ni aku rasa macam nak share skrip-skrip teks pengacara majlis yang aku pernah buat. Manala tahu ada yang masih tercari-cari skrip untuk jadi pengacara. Atau kalau rasa susah, call je aku  jd pengacara majlis..ahakks..

i) Skrip KAHWIN

MAJLIS MENERIMA MENANTU
1 OGOS 10
RAIN SHELTER TAMAN BOTANI PUTRAJAYA


Yang ditunggu sudah pun datang
Yang dinanti sudah pun tiba
Para tetamu teruja memandang
Kedau mempelai diarak gembira

Mengumumkan ketibaan pasangan pengantin memasuki dewan utama dan seterusnya menuju ke singgahsana…

Pengantin diarak dengan paluan kompang


ACARA BERMULA (PENGANTIN BERADA DI PELAMIN)
Assalamualaikum, salam ceria, salam hormat, salam pembuka bicara, kapur dipalit sirih dibuka…

Selamat datang kepada Tan Seri, Puan Seri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati.

Selamat datang ke majlis perkahwinan

Saudara: Ahmed Sya bin Shaarani
Dan
Saudari : Yasmin Aisyah binti Azlan Shah

Sirih berlipat siri pinang
Sirih dari pulau mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal bismillah pembuka bicara

YABhg Tun Dr Mahathir  bin Muhammad dan
YABhg Tn Dr Siti Hasmah Hj Muhamad Ali

Yang Berbahagia (tuan rumah)
1. Tn haji Shaarani bin
2. Pn Hjh Maimon bte

Yang berbahagia (besan tuan rumah)
1.  Tn Azlan Shah bin
2.

Rombongan pengantin perempuan dari :

Sidang hadirin sekalian

Tetak buluh panjang suluh
Mari jolok sarang penyengat
Angkat doa jari sepuluh
Doa diminta biar selamat

Buka lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di rumpun buluh
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah menyusun jari sepuluh

Bagi merestui majlis perkahwinan ini,
Dipersilakan Y.Bhg Ustaz :
Untuk memimpin bacaan doa keberketan
Dengan rasa tulusnya dipersilakan

Amin….terima kasih kepada Y.bhg Ustaz :

Ya saudara semoga ikatan yang tersimpul rapi ini akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat di kandung badan. Insyallah…

Tiada kata seindah bahasa, yang mampu diucapkan bagi menggambarkan keserasian pasangan pengantin di atas pelamin.

Burung jelatik burung jeladan
Terbang mari ke hujung benua
Sama cantik sama padan
Bagai pinang dibelah dua

Sayur kucai sayur tumis
Gatal sungguh getah jelatang
Kedua-duanya sama manis
Bagaikan bulan dipagar bintang


MERENJIS

Taburan bertih dan renjisan air mawar sebagai simbolik merestui pertemuan dua jiwa menjadi satu dan bermula menempuh sebuah kehidupan baru suami dan isteri.

Majlis menepung tawar ini dimulakan dengan menjemput

1.
2.
Tepung tawar adat sejati
Tak kan berpisah sampai ke mati

Tepung tawar berberas bertih
Supaya hati sentiasa bersih

Dipersilakan seterusnya ayahanda dan bonda Saudari Yasmin Aisyah
1.
2.

Tepung tawar berberas kunyit
Supaya jauh semua penyakit

Tepung tawar berbunga rampai
Biar dikasihi sahabat handai


Dipersilakan pula ayahanda dan bonda saudara ahmed sya
1.
2.

Tepung tawar berair mawar
Biar cinta tak pernah pudar

Tepung tawar bersama inai
Sehingga mati baru bercerai…insya-Allah  

Tidak lupa juga ….silakan
1.
2.

Anak itik dicelah pandan
Sambil berenang berdua-dua
Sama cantik sama padan
Ibarat pinang dibelah dua

Dipersilakan juga…silakan

1.
2.

Kain batik baju pun batik
Batik dipakai kaum wanita
Adik cantik abang pun cantik
Bagai pinang dengan permata

Kita jemput pula :

Adat orang bersuami isteri
Pahit manis sama dirasa
Dalam pasang ada surutnya
Dalam untung ada ruginya
Dalam lapang ada sempitnya
Kalau banyak sebelanga seorang
Kalau sedikit sesudu seorang

Dipersilakan pula

1.
2.
Semua yang hadir sama berdoa
Aman bahagia sepanjang hayat
Doa juga sesama kita
Semoga kekal diterima di akhirat
Majlis mempersilakan lagi

1.
2.

Potong baju si awan larat
Dipakai oleh pengantin berdua
Sotong di laut serai di darat
Di dalam tomyam bertemu juga

Seterusnya kita jemput:

Memang bertuah nasib badan
Akhirnya dapat juga hidup berdua
Sama cantik sama padan
Sama tampan sama jelita

Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan

Dan akhir sekali, buat penutup majlis..dipersilakan

1.
2.

Istiadat merenjis sempurnalah sudah
Ribuan terima kasih kami ucapkan
Masa yang ditunggu sampailah sudah
Ayuh kita beredar pula ke majlis santapan

MAKAN BERADAP

Majlis dengan segala hormat nya mempersilakan pengapit kedua-dua mempelai untuk menjemput dan mengiringi mempelai ke meja hidangan utama untuk acara makan beradap….dipersilakan

Hidangan kami tidak seberapa
Sudilah tuan jamah sahaja
Hanya sekadar umbut dari belukar
Labu dari gunung
Ikan dari paya serta daging sekadar yang ada


(POTONG KEK)
Para hadirin yang dimuliakan. Acara kita seterusnya ialah upacara memotong kek perkahwinan. Majlis dengan sukacitanya mempersilakan pengapit kedua pengantin untuk menjemput dan mengiringi ke dua mempelai untuk menyempurnakan majlis memotong kek perkahwinan.
( Pengantin memotong kek perkahwinan )

Syabas dan tahniah. Tepukan kepada ke dua mempelai.
Para hadirin sekalian. Dengan berakhirnya upacara memotong kek perkahwinan itu tadi, maka berakhirlah acara rasmi majlis kita pada hari ini.

(BEGAMBARA)
Kepada sesiapa yang tidak sempat merenjis dan menepung tawar, juga tidak sempat untuk mengucapkan syabas dan tahniah sewaktu istiadat merenjis tadi/ kedua mempelai akan menerima ucap selamat daripada tuan-tuan dan puan- puan di pintu masuk utama. Silakan
( Pengantin menuju pintu masuk utama dan terima ucapan tahniah )

Kepada adik beradik, sanak saudara ke dua mempelai, di harap jangan pulang dulu, kerana selepas ini, kita akan beramai- ramai untuk sessi bergambar.

Kepada para jemputan. Sekali lagi bagi pihak tuan rumah, kami mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi memeriahkan majlis kami hari ini. Ucapan terima kasih khas buat rombongan dari pihak lelaki.  Kami iringi perjalanan pulang tuan-tuan dengan doa, semoga selamat sampai ke tempat yang di tuju.

Tidak lupa juga ucapan terima kasih kami kepada semua sanak saudara yang bertungkus lumus dalam menjayakan majlis ini. Seterusnya terima kasih kami kepada semua, Rakan-rakan jurukamera dan jurukamera video, juruteknik,, mak andam dan kepada semua yang telah sama-sama bekerja untuk menjayakan majlis hari ini.
Sekiranya terdapat sebarang kelemahan dan kekurangan dalam kami mengendalikan majlis ini, saya bagi pihak tuan rumah, dengan rendah hati memohon ribuan ampun dan maaf .
Kami minta ampun
Kami minta maaf
Kalau ada wajah tersalah pandang
Kalau ada nama tersalah sebut
Kalau ada gelaran tersalah ucap
Kalau ada yang tersalah tempat
Kalau ada hidangan yang tersalah berkas
Kalau air mawar tersalah renjis
Maaf jua yang kami pinta..

Mudik ke muara mencari kerang
Sambil mudik, menjala ikan
Kalau ada salah dan kurang
Seribu keampunan kami pohonkan.

Sekian dulu dari saya. Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

HA..AMACAM??? LAIN KALI AKU BAGI LAGI SKRIP LAIN. Tapi tak boleh le banyak-banyak sangat kan, nanti tutup kedai lak aku..he..he..