CONTOH-CONTOH SKRIP
Hari ni aku rasa macam nak share skrip-skrip teks pengacara majlis yang aku pernah buat. Manala tahu ada yang masih tercari-cari skrip untuk jadi pengacara. Atau kalau rasa susah, call je aku jd pengacara majlis..ahakks..
i) Skrip KAHWIN
MAJLIS MENERIMA MENANTU
1 OGOS 10
RAIN SHELTER TAMAN BOTANI PUTRAJAYA
Yang ditunggu sudah pun datang
Yang dinanti sudah pun tiba
Para tetamu teruja memandang
Kedau mempelai diarak gembira
Mengumumkan ketibaan pasangan pengantin memasuki dewan utama dan seterusnya menuju ke singgahsana…
Pengantin diarak dengan paluan kompang
ACARA BERMULA (PENGANTIN BERADA DI PELAMIN)
Assalamualaikum, salam ceria, salam hormat, salam pembuka bicara, kapur dipalit sirih dibuka…
Selamat datang kepada Tan Seri, Puan Seri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati.
Selamat datang ke majlis perkahwinan
Saudara: Ahmed Sya bin Shaarani
Dan
Saudari : Yasmin Aisyah binti Azlan Shah
Sirih berlipat siri pinang
Sirih dari pulau mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal bismillah pembuka bicara
YABhg Tun Dr Mahathir bin Muhammad dan
YABhg Tn Dr Siti Hasmah Hj Muhamad Ali
Yang Berbahagia (tuan rumah)
1. Tn haji Shaarani bin
2. Pn Hjh Maimon bte
Yang berbahagia (besan tuan rumah)
1. Tn Azlan Shah bin
2.
Rombongan pengantin perempuan dari :
Sidang hadirin sekalian
Tetak buluh panjang suluh
Mari jolok sarang penyengat
Angkat doa jari sepuluh
Doa diminta biar selamat
Buka lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di rumpun buluh
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah menyusun jari sepuluh
Bagi merestui majlis perkahwinan ini,
Dipersilakan Y.Bhg Ustaz :
Untuk memimpin bacaan doa keberketan
Dengan rasa tulusnya dipersilakan
Amin….terima kasih kepada Y.bhg Ustaz :
Ya saudara semoga ikatan yang tersimpul rapi ini akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat di kandung badan. Insyallah…
Tiada kata seindah bahasa, yang mampu diucapkan bagi menggambarkan keserasian pasangan pengantin di atas pelamin.
Burung jelatik burung jeladan
Terbang mari ke hujung benua
Sama cantik sama padan
Bagai pinang dibelah dua
Sayur kucai sayur tumis
Gatal sungguh getah jelatang
Kedua-duanya sama manis
Bagaikan bulan dipagar bintang
MERENJIS
Taburan bertih dan renjisan air mawar sebagai simbolik merestui pertemuan dua jiwa menjadi satu dan bermula menempuh sebuah kehidupan baru suami dan isteri.
Majlis menepung tawar ini dimulakan dengan menjemput
1.
2.
Tepung tawar adat sejati
Tak kan berpisah sampai ke mati
Tepung tawar berberas bertih
Supaya hati sentiasa bersih
Dipersilakan seterusnya ayahanda dan bonda Saudari Yasmin Aisyah
1.
2.
Tepung tawar berberas kunyit
Supaya jauh semua penyakit
Tepung tawar berbunga rampai
Biar dikasihi sahabat handai
Dipersilakan pula ayahanda dan bonda saudara ahmed sya
1.
2.
Tepung tawar berair mawar
Biar cinta tak pernah pudar
Tepung tawar bersama inai
Sehingga mati baru bercerai…insya-Allah
Tidak lupa juga ….silakan
1.
2.
Anak itik dicelah pandan
Sambil berenang berdua-dua
Sama cantik sama padan
Ibarat pinang dibelah dua
Dipersilakan juga…silakan
1.
2.
Kain batik baju pun batik
Batik dipakai kaum wanita
Adik cantik abang pun cantik
Bagai pinang dengan permata
Kita jemput pula :
Adat orang bersuami isteri
Pahit manis sama dirasa
Dalam pasang ada surutnya
Dalam untung ada ruginya
Dalam lapang ada sempitnya
Kalau banyak sebelanga seorang
Kalau sedikit sesudu seorang
Dipersilakan pula
1.
2.
Semua yang hadir sama berdoa
Aman bahagia sepanjang hayat
Doa juga sesama kita
Semoga kekal diterima di akhirat
Majlis mempersilakan lagi
1.
2.
Potong baju si awan larat
Dipakai oleh pengantin berdua
Sotong di laut serai di darat
Di dalam tomyam bertemu juga
Seterusnya kita jemput:
Memang bertuah nasib badan
Akhirnya dapat juga hidup berdua
Sama cantik sama padan
Sama tampan sama jelita
Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan
Dan akhir sekali, buat penutup majlis..dipersilakan
1.
2.
Istiadat merenjis sempurnalah sudah
Ribuan terima kasih kami ucapkan
Masa yang ditunggu sampailah sudah
Ayuh kita beredar pula ke majlis santapan
MAKAN BERADAP
Majlis dengan segala hormat nya mempersilakan pengapit kedua-dua mempelai untuk menjemput dan mengiringi mempelai ke meja hidangan utama untuk acara makan beradap….dipersilakan
Hidangan kami tidak seberapa
Sudilah tuan jamah sahaja
Hanya sekadar umbut dari belukar
Labu dari gunung
Ikan dari paya serta daging sekadar yang ada
(POTONG KEK)
Para hadirin yang dimuliakan. Acara kita seterusnya ialah upacara memotong kek perkahwinan. Majlis dengan sukacitanya mempersilakan pengapit kedua pengantin untuk menjemput dan mengiringi ke dua mempelai untuk menyempurnakan majlis memotong kek perkahwinan.
( Pengantin memotong kek perkahwinan )
Syabas dan tahniah. Tepukan kepada ke dua mempelai.
Para hadirin sekalian. Dengan berakhirnya upacara memotong kek perkahwinan itu tadi, maka berakhirlah acara rasmi majlis kita pada hari ini.
(BEGAMBARA)
Kepada sesiapa yang tidak sempat merenjis dan menepung tawar, juga tidak sempat untuk mengucapkan syabas dan tahniah sewaktu istiadat merenjis tadi/ kedua mempelai akan menerima ucap selamat daripada tuan-tuan dan puan- puan di pintu masuk utama. Silakan
( Pengantin menuju pintu masuk utama dan terima ucapan tahniah )
Kepada adik beradik, sanak saudara ke dua mempelai, di harap jangan pulang dulu, kerana selepas ini, kita akan beramai- ramai untuk sessi bergambar.
Kepada para jemputan. Sekali lagi bagi pihak tuan rumah, kami mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi memeriahkan majlis kami hari ini. Ucapan terima kasih khas buat rombongan dari pihak lelaki. Kami iringi perjalanan pulang tuan-tuan dengan doa, semoga selamat sampai ke tempat yang di tuju.
Tidak lupa juga ucapan terima kasih kami kepada semua sanak saudara yang bertungkus lumus dalam menjayakan majlis ini. Seterusnya terima kasih kami kepada semua, Rakan-rakan jurukamera dan jurukamera video, juruteknik,, mak andam dan kepada semua yang telah sama-sama bekerja untuk menjayakan majlis hari ini.
Sekiranya terdapat sebarang kelemahan dan kekurangan dalam kami mengendalikan majlis ini, saya bagi pihak tuan rumah, dengan rendah hati memohon ribuan ampun dan maaf .
Kami minta ampun
Kami minta maaf
Kalau ada wajah tersalah pandang
Kalau ada nama tersalah sebut
Kalau ada gelaran tersalah ucap
Kalau ada yang tersalah tempat
Kalau ada hidangan yang tersalah berkas
Kalau air mawar tersalah renjis
Maaf jua yang kami pinta..
Mudik ke muara mencari kerang
Sambil mudik, menjala ikan
Kalau ada salah dan kurang
Seribu keampunan kami pohonkan.
Sekian dulu dari saya. Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
HA..AMACAM??? LAIN KALI AKU BAGI LAGI SKRIP LAIN. Tapi tak boleh le banyak-banyak sangat kan, nanti tutup kedai lak aku..he..he..